Breaking News

BWF DiGesa Tunda Kejohanan Piala Thomas/Uber 2020

BWF DiGesa Tunda Kejohanan Piala Thomas/Uber 2020


Dua gergasi badminton dunia, Indonesia dan China dilaporkan akan mengumumkan menarik drii dari menyertai Kejohanan Piala Thomas/Uber 2020 di Aarhus, Denmark yang akan berlangsung bulan depan.



Malah, Korea Selatan hari ini dilaporkan turut membuat keputusan menarik diri

Sebelum ini, Taiwan, Australia dan Thailand sah tidak menyertai kejohanan berpasukan di Aarhus pada 3 hingga 11 Oktober itu kerana bimbang dengan pandemik COVID-19 yang masih belum reda di seluruh dunia.

Legenda badminton negara, Rashid Sidek, berkata prestij kejohanan yang dianggap sebagai Piala Dunia untuk sukan badminton itu bakal hilang dengan penarikan diri beberapa pasukan utama.

"Kalau sudah sampai empat pasukan menarik diri, lebih baik tunda sahaja.

"Thailand dan Taiwan boleh dianggap pasukan yang kuat untuk saingan Piala Thomas dan Uber tetapi apabila mereka menarik diri dan digantikan dengan pasukan lebih rendah kedudukan rankingnya, sudah pasti kualiti itu kurang.

"Kalau ada pasukan yang jadi juara nanti, kepuasan itu pasti tidak sama berbanding jika semua pasukan utama menyertainya," kata bekas pemain perseorangan lelaki negara itu kepada BH Sukan.

Difahamkan, BWF menghantar jemputan kepada Hong Kong dan Singapura bagi menggantikan pasukan yang menarik diri namun ditolak kedua-dua negara berkenaan.

Hanya Finland dikatakan menerima untuk beraksi dalam saingan Piala Thomas manakala Sweden untuk aksi Piala Uber.

Seperti kata Rashid, BWF perlu mengutamakan keselamatan dan kesihatan pemain dan pegawai berbanding memikirkan mengenai kerugian yang mereka akan tanggung sekiranya membuat keputusan menunda saingan Piala Thomas/Uber tahun ini.

"Kita tidak boleh memikirkan untung rugi tetapi perlu mengutamakan keselamatan (pemain dan pegawai). Jangan kita menyesal di kemudian hari," kata Rashid yang menjulang trofi Piala Thomas bersama skuad negara pada edisi 1992 di Kuala Lumpur.

sumber : Berita Harian

No comments